Perayaan Sambutan Tahun Baru

Seluruh Masyarakat Orang Asli kini mulai terasa kedatangan hari yang nanti-nantikan iaitu Hari Sambutan Tahun Baru, 31 DISEMBER 2017. Anak muda di perantuan kian mulai merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bayu bertiup nyaman, air sungai yang menyegarkan nun jauh disana sentiasa dirindui. Apapun, sudah pastinya sambutan tahun baru mengembirakan bersama keluarga serta saudara mara di kampung halaman yang tercinta.

Ada yang sudah membuat persediaan awal membeli belah barang-barang keperluan seperti peralatan rumah, perkakas hiasan, dan bahan-bahan masakkan untuk kueh-mueh tradisional. Sambutan Tahun Baru Orang Asli kali ini dijangkakan akan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum. Tahun 2018 juga dipercayaai tahun murah rezeki serta penuh dengan kesejahteraan hidup.

Sambutan Tahun Baru Orang Asli atau dalam bahasa suku kaum Jakun dikenali sambutan ‘Tahon Baro’ manakala dalam bahasa suku kaum Semai ‘Jis Pai’ atau ‘Tahut Pai’ , bahasa suku kaum Temuan ‘Tahun Bahauk’ , Semelai ‘Nyulung Tahun’ , Mahmeri ‘Tawun Empai’ dan bahasa Temiar ‘Is Pai’. Dari segi sebutannya berbeza, namun pengertian atau maksudnya adalah sama iaitu Perayaan Menyambut Tahun Baru.

Hari Perayaan Menyambut Tahun Baru merupakan entiti penting memperkasakan institusi kekeluargaan dan memelihara perpaduan dikalangan masyarakat Orang Asli. Hari Perayaan ini juga adalah salah satu ‘tiang seri’ suku kaum kita Orang Asli.

Hari Perayaan Menyambut Tahun Baru bagi lapanbelas etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysian bermula penghujung tahun iaitu setiap 31 DISEMBER.


TAHUN 2018

2018 adalah tahun yang akan memperlihat ‘perubahan minda’ masyarakat Orang Asli Malaysia setelah mengharungi pelbagai peristiwa pahit manis ; suka duka sepanjang Tahun 2017.

Jika dulu masyarakat Orang Asli dilihat sebagai kumpulan minoriti yang mudah diperdaya serta senang dicaturkan ; tetapi kini sebaliknya. Sebilangan besar Orang Asli sedar, celik mata serta hati akan hak kepentingan mereka sebagai masyarakat peribumi dan warganegara Malaysia.

Lanjutan beberapa kes mahkamah yang memihak kepada mereka mencermin hak sama rata di sisi undang-undang mendapat pengiktirafan sistem kehakiman dan perundangan, Malaysia. Impak langsung menepati ‘hak sama rata’ dan ‘kebebasan bersuara’ yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Orang Asli, seperti biasa akan menerus kehidupan seharian dalam sebuah negara pelbagai kaum ini. Aman, sentosa, dan sejahtera bersama-sama masyarakat arus perdana menjadi eleman penting ke arah memelihara kedaulatan serta kemakmuran negara.

Sementara golongan terpelajar atau cerdik pandai Orang Asli akan terus menjadi agen perubahan masyarakat. Bersama-sama menjana perubahan minda serta memimpin masyarakat berlandaskan halatuju masa depan melahirkan, membentuk generasi yang cemerlang, gemilang, lagi terbilang. Ikhlasnya, setiap Orang Asli mengambil ini sebagai satu tanggungjawab dan agenda masa depan anak bangsa.

Ilmu yang ditimba dari menara gading itu perlu sampai serta dapat diterjemah ke peringkat akar umbi sehingga yang masih di pendalaman ; pelusuk pos, lembah, mahupun di pergunungan.

Selamat Menyambut Perayaan Tahun Baru
2018

Wednesday the 17th. Affiliate Marketing. © 2012 Yayasan Orang Asli Semenanjung Malaysia Hakcipta Terpelihara
Copyright 2012

©