Kerajaan Negeri Perak Warta 2,959.85 Hektar Tanah Orang Asli Libatkan 23 Kawasan

IPOH, 25 Mac (Bernama) - - Kerajaan Negeri Perak mewartakan 2,959.85 hektar tanah Orang Asli meliputi kawasan kediaman dan pertanian yang melibatkan 23 kawasan di seluruh negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata masih terdapat 21 kawasan yang akan diwartakan dalam masa terdekat dan apabila siap kelak, jumlah kawasan Orang Asli yang diwartakan adalah seluas 10,280.8314 hektar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pecah Surau Rafeah, Meru Perdana di sini hari ini, beliau berkata selain kawasan Orang Asli, kerajaan melaksanakan pelbagai dasar dan pendekatan bagi memberi keselesaan kepada rakyat melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Zambry berkata sebelum ini, kerajaan melaksanakan beberapa pendekatan termasuk memberi geran hak milik kepada penduduk setinggan.

“Ini dilakukan melalui pendekataan ‘in situ’ dengan penduduk setinggan diberikan geran di kawasan-kawasan tempat tinggal mereka dan bagi kawasan yang tidak sesuai mereka akan dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berpuas hati dengan pemaju MK Land yang membina rumah baru di kawasan Meru Perdana dengan teknologi ‘Industrialised Building Systen’ (IBS).

Melalui sistem ini, katanya kawaasan pembinaan lebih selamat, bersih, menjimatkan tenaga buruh, menjimatkan masa dan mengurangkan harga jualan rumah.

Zambry berkata IBS yang diperkenalkan MK Land ini lebih mampat dan selamat serta sangat efisien dari segi ketahanan strukturnya.

“Struktur pembinaannya merupakan penebat bunyi yang baik, kalis anai-anai di samping kos penyelenggaraannya yang minimum,” katanya.

- - Bernama

Friday the 18th. Affiliate Marketing. © 2012 Yayasan Orang Asli Semenanjung Malaysia Hakcipta Terpelihara
Copyright 2012

©