Sentiasa Bersama Masyarakat

Yayasan Orang Asli Malaysia (YOS) sentiasa bersama masyarakat dan sering mengadakan aktiviti atau program berbentuk kemasyarakatan, dan setiap aktiviti atau programnya sentiasa mendapat kerjasama jabatan atau agensi kerajaan. Contohnya Program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (SPEKKTRA) di Kg. Orang Asli Bt. Gong, Pekan, Pahang Darul Makmur, dan Motivasi Kesedaran Pendidikan Masyarakat Orang Asli Suku Temiar di Kg. Pulau Tujuh, RPS Banun, Perak Darul Redzuan.

Program Siri Penjelajahan Kesejahteraan Keluarga Untuk Rakyat (SPEKKTRA) di Pekan (2014) tahun lalu sahaja dihadiri oleh kira-kira 2,500 Orang Asli. Diantara kenamaan yang hadir dimajlis tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Alexander Nata Linggi (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Malaysia) , Yang Berhormat Dato’ Abu Bakar Bin Hj. Harun (ADUN Cini Parlimen Pekan merangkap Ahli EXCO Pahang) , Y. Bhg. Dato’ Haji Mohd Sani Bin Mistam (Ketua Pengarah JAKOA) , Y. Bhg. Dato' Dr. Siti Norlasiah Binti Ismail (Ketua Pengarah LPPKN) , Pegawai Daerah, Pengarah JAKOA Negeri, Pengarah LPPKN, dan lain-lain lagi. Turut bersama-sama menjayakan program tersebut ialah LPPKN (menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan / ceramah kesihatan) , 1MDB (memperuntukkan RM80,000.00 untuk pemeriksaan mata dan tempahan cerminmata percuma) , JAKOA (makanan / minuman) , SPR, Polis, Pasukan RELA dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang & Daerah Pekan.

Yang Berhormat Datuk Alexander, juga menyatakan pandangannya di pihak kerajaan, “Saya menyokong pandangan dan saranan Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Sri Rosmah Mansor, Isteri YAB Perdana Menteri Malaysia merangkap Penaung Yayasan Orang Asli Malaysia, menyeru semua pihak agar terus memberi sokongan, kerjasama dan bantuan kepada Yayasan Orang Asli Malaysia.”

Disamping merasmikan majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan bag sekolah (berisi kelengkapan alatulis) kepada pelajar-pelajar, tigapuluh hamper (bernilai RM50.00) kepada warga emas, dan hadiah cabutan nombor bertuah beberapa buah televisyen, hamper dan lain-lain lagi.

SPEKKTRA merupakan program kerjasama di antara Yayasan Orang Asli Malaysia (YOS) dan Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebuah agensi dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Malaysia (KPWKM). Bertujuan membawa perkhidmatan sokongan kesejahteraan keluarga ke dalam komuniti dengan tujuan untuk mendekati ahli keluarga masyarakat Orang Asli secara langsung. Selaras dengan ini, aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dalam siri penjelajahan SPEKKTRA adalah merangkumi aspek pendidikan seperti Ceramah Motivasi dan Kecemerlangan Pendidikan serta Kesihatan seperti Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Perancang Keluarga, Teknik Penyusuan Bayi dan sebagainya. Sisi Ceramah Motivasi & Kecemerlangan Pendidikan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Juli Edo. Ceramah ini dihadiri oleh kira-kira seribu orang ibubapa dan pelajar-pelajar sekolah SMK Paloh Hinai, SMK Pekan dan pelajar-pelajar sekolah sekitar Felda Cini, dan mendapat perhatian serta menggalakkan.

YOS merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta melibatkan golongan terpelajar Orang Asli seluruh negara pada tahun 2015, yang bertemakan ‘YOS BERSAMAMU’. Diantaranya ialah motivasi kesedaran pendidikan dikalangan ibubapa Orang Asli dan program pembangunan serta kecemerlangan pendidikan pelajar Orang Asli.

YOS sebuah organisasi kecil yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendukung aspirasi nasional serta bertindak sebagai agen pelengkap agenda pembangunan atau kemajuan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli. Hatta, sehingga kini walaupun tiada sumber pendapat tetap dan juga belum ada bantuan atau peruntukan dari kerajaan ; namun YOS akan terus berusaha untuk membantu masyarakat Orang Asli. Sukarelawan Pengurusan Tertinggi YOS juga sentiasa cekal bagi meneruskan tradisi membela rakyat dengan cogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Friday the 28th. Affiliate Marketing. © 2012 Yayasan Orang Asli Semenanjung Malaysia Hakcipta Terpelihara
Copyright 2012

©