Penubuhan Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MOYC)

Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) bantu merealisasi penubuhan Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MOYC) awal tahun ini.

Pertemuan MBM dan PSOA pada 28 Disember 2011 lalu, bertempat di Wisma Majlis Belia Malaysia, Kuala Lumpur, mendapat sambutan positif dan memberangsangkan sebilangan besar belia siswazah Orang Asli.

Pertemuan tersebut dihadiri sendiri oleh pemimpin tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Y. Bhg. En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Dato’ Hj. Irmohizam Ibrahim (Naib Presiden), En. Mohd. Zaidi Aziz (Setiausaha Agung), Mr. G. Pramasivan A/l Govindasamy (Bendahari Kehormat), En. Ahmad Daniar Ismail (Exco), En. Khairul Annuar Mansor (Exco) dan lain-lain termasuk beberapa orang pegawai Majlis Belia Malaysia.

Sementara Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) diketuai oleh En. Rashid Bin Ka’, (Presiden), En. Kahirul Nizam Bin Aseh (Ahli Jawatankuasa) dan limabelas orang belia siswazah Orang Asli yang juga merupakan ahli Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA).

 

Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MOYC) ini kelak akan diperluaskan ke peringkat negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan di penempatan-penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli.

Menurut En. Rashid, penubuhan Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MOYC) ini kelak akan menjadi mercu tanda kebanggaan warga belia Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Jelas En. Rashid, belia Orang Asli harus duduk dibawah satu payung sendiri. Mereka juga harus keluar dari belenggu ‘tempurung kaca’ dan sebaliknya melibatkan diri secara bijaksana dalam arus pembangunaan negara.

Hatta, belia-belia Orang Asli harus bergerak seiringan dengan lain-lain belia di negara ini dan bersama-sama maju kehadapan menjelang 2020.

En. Rashid juga menyeru seluruh warga belia Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang berumur diantara 15 - 40 tahun serta memiliki pelbagai tahap pendidikan agar bersiap sedia menyahut cabaran ini secara proaktif.

Beliau juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) diatas keprihatinan dan keikhlasan mereka ingin melihat belia Orang Asli mempunyai pemimpin atau wakil mereka sendiri, dan dengan harapan agar dapat duduk semeja serta sebarisan dengan lain-lain belia di negara ini.

Friday the 28th. Affiliate Marketing. © 2012 Yayasan Orang Asli Semenanjung Malaysia Hakcipta Terpelihara
Copyright 2012

©